Buruh mengaku tidak bersalah rogol anak tiri
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 4, 2025 10:50 MYT
Februari 4, 2025 10:50 MYT
BUTTERWORTH: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan merogol anak perempuan tirinya yang berusia 14 tahun, Oktober lalu.
Tertuduh yang berusia 53 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga seorang buruh telah merogol anak perempuan tirinya yang ketika itu berusia 14 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik tidur di dalam rumah di Jalan Kampung Selamat, Tasek Gelugor antara jam 10.30 hingga 11.30 malam pada Oktober 2024.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun penjara dan sebat.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, Muhammad Rifaie tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas faktor hubungan tertuduh dengan mangsa selain mereka tinggal serumah.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 4 Mac depan sebagai tarikh sebutan kes bagi mendapatkan laporan perubatan serta forensik.