Buruh mengaku tidak bersalah curi burung kakaktua
Adie Sufian Zulkefli
November 16, 2021 12:02 MYT
November 16, 2021 12:02 MYT
KANGAR: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar hari ini atas pertuduhan mencuri burung kakaktua jenis Grey African Parrot di sebuah rumah di Beseri pada 12 November lalu.
Tertuduh, Mohd Amiza Marodzi, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Kamaliza Md Zain.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri seekor burung kakaktua dengan nombor penandaan 20 Z 005 FID yang terdapat di dalam lesen dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan dikeluarkan kepada pemilik Mohd Faiz Jaafar.
Dia juga didakwa melakukan perkara itu di sebuah rumah di Taman Bunga Angsana, Beseri pada jam 4 pagi, 12 November lalu.
Perbuatan tertuduh disedari pemilik burung kakaktua itu setelah terdengar bunyi teriakan burung berkenaan sebelum mendapati ia hilang dari sangkar.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaan Raya Nurul Atikah Rashid manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nur Iman Nor Azmi.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM5,000.
Bagaimanapun peguam tertuduh meminta mahkamah meringankan hukuman kerana tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap selain mempunyai tanggungan isteri dan empat orang anak berusia empat hingga 13 tahun.
Mahkamah bagaimanapun menerima permohonan tertuduh dengan mengurangkan jaminan kepada RM3,500.
Mahkamah menetapkan 15 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.