Buruh mengaku salah rompak gelang emas guna pencakar tanah

Bernama
Oktober 28, 2024 16:33 MYT
Tertuduh Raiznan Shah Ruzmi membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak seutas gelang emas milik seorang wanita di Bachok dengan bersenjatakan besi pencakar tanah, dua minggu lepas.
Tertuduh Raiznan Shah Ruzmi, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan rompakan seutas gelang emas milik Farha Yaacob, 51, dengan menggunakan senjata maut iaitu sebatang besi pencakar tanah di sebuah rumah di Kampung Mahligai Melor, Bachok pada 6.15 pagi, 10 Okt lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang memperuntukkan penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli memohon mahkamah agar tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh yang tidak diwakili peguam kerana kes itu adalah serius.
Zulkifli menetapkan 19 Nov ini sebagai tarikh sebutan semula kes, serahan dokumen serta lantikan peguam dan mengarahkan tertuduh ditahan reman.
-- BERNAMA
#buruh mengaku bersalah #rompak emas wanita #guna pencakar tanah #Bachok
;