Buruh mengaku rogol penjawat awam, ceroboh rumah mangsa

Abd Razak Mohd Ali
April 28, 2023 13:45 MYT
Tertuduh didakwa menceroboh masuk ke rumah mangsa dengan niat melakukan perbuatan menyalahi undang-undang, pada pukul 10 malam 17 April 2023 hingga 9 pagi 18 April. - Foto BERNAMA
IPOH: Seorang buruh binaan didakwa di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas dua tuduhan merogol seorang penjawat awam dan menceroboh rumah mangsa di sebuah kuarters kerajaan di Fair Park, minggu lalu.
Tertuduh, Hassan Ahmad, 43 tahun, mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang wanita berusia 38 tahun dan meletakkannya pada ketakutan kematian.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di tingkat dua di perumahan penjawat awam di Jalan Kamarudin Isa, Fair Park di sini antara jam 10 malam 17 April 2023 dan 1.47 pagi 18 April 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan iaitu merogol mangsa sama di lokasi serupa antara pukul 5.30 dan 6.30 pagi pada 18 April 2023.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan
Bagi kesalahan menceroboh, tertuduh yang juga seorang duda dan mempunyai seorang anak perempuan, didakwa menceroboh masuk dengan niat melakukan perbuatan menyalahi undang-undang di rumah mangsa pada pukul 10 malam 17 April 2023 hingga 9 pagi 18 April 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Evangelin tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas alasan lelaki itu tidak mempunyai alamat tempat tinggal tetap selain mengetahui lokasi kediaman mangsa.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman tarikh lain pada 22 Mei depan sementara menunggu fakta kes.
#buruh binaan #rogol #ceroboh rumah #kuarters kerajaan
;