Buruh maut ditikam, suspek ditahan di Pulau Pinang
Bernama
April 6, 2022 17:11 MYT
April 6, 2022 17:11 MYT
SEREMBAN: Seorang buruh warga Rohingya ditemukan maut dengan kesan tikaman di perut dipercayai dibunuh rakan serumahnya di sebuah rumah di Jalan Bukit Tembok, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki berusia 19 tahun itu kira-kira pukul 10 pagi daripada orang awam.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dikatakan menumpang di rumah berkenaan bersama rakan senegaranya yang berusia 40 tahun itu sejak seminggu lepas.
"Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap tanpa pakaian di laluan menuju dapur rumah itu. Mangsa berkemungkinan telah meninggal dunia dalam tempoh lima hingga enam jam sebelum itu dan dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam namun belum dipastikan berapa tikaman dan di mana senjata itu berada.
"Polis juga dimaklumkan suspek yang juga buruh menyewa di rumah berkenaan sejak setahun lepas. Malam tadi, jiran ada dengar pergaduhan berlaku selain majikan suspek ada datang mencarinya di rumah selepas dia tidak hadir ke tempat kerja pagi tadi," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Nanda berkata tiada pengesahan sama ada terdapat barang mangsa yang hilang setakat ini dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Beliau berkata suspek yang melarikan diri sejurus kejadian itu bagaimanapun berjaya diberkas kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi di sebuah kedai pakaian di Jalan Aston, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dipercayai bersembunyi di lokasi terbabit selepas menyedari dirinya diburu.
Menurut Nanda, suspek yang memiliki rekod jenayah lampau berkaitan mendatangkan kecederaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk proses dokumentasi sebelum dibawa balik ke Seremban untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh," katanya.
-- BERNAMA