Buruh maut dirempuh lori tanah
Adie Sufian Zulkefli
Jun 6, 2023 06:40 MYT
Jun 6, 2023 06:40 MYT
ALOR SETAR: Seorang buruh lelaki maut dalam kemalangan selepas menunggang motosikal secara melawan arus di persimpangan lampu isyarat Jalan Jabi - Pokok Sena, di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian jam 12.35 tengah hari itu penunggang motosikal Ahmad Nawawi Din, 66, yang berasal dari Kampung Kepala Bukit, dekat sini, meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata siasatan awal polis mendapati sebuah lori mengangkut tanah yang dipandu lelaki berusia 57 tahun sedang bergerak dari arah Alor Setar menuju ke Pokok Sena.
“Setiba di persimpangan lampu isyarat Jabi, sebuah motosikal sedang bergerak dari arah Pokok Sena dalam keadaan melawan arus di bahu sebelah kiri jalan.
“Tiba-tiba penunggang itu terus melintas untuk ke kanan jalan dan ketika itu pemandu lori tidak sempat mengelak dan menekan brek lalu merempuh motosikal mangsa.
“Mangsa tercampak ke atas jalan manakala motosikal telah terseret sejauh 50 meter hingga memasuki laluan bertentangan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Bagaimanapun, Ahmad Shukri berkata, pemandu lori sempat terjun dari lori tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, pasukan bomba telah di panggil untuk memadam api dan penunggang itu telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.
Namun begitu, penunggang motosikal itu meninggal dunia di Zon Merah HSB jam 2.40 petang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.