Buruh ladang warga Indonesia maut dipanah petir

Sinar Harian
April 25, 2024 10:45 MYT
Mayat mangsa ditemui terbaring di bawah pokok selepas terkena petir dalam kejadian di ladang sawit Blok 19 lot individu Felda Jengka 14 di sini pada Rabu. - Foto Sinar Harian
MARAN: Seorang buruh ladang warga Indonesia maut dipercayai terkena petir ketika bekerja di di ladang sawit Blok 19 lot individu Felda Jengka 14 di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Kamarudin,40, berasal dari Montong Berore, Mataram, Lombok disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama rakan bernama Nurul Ahwan dikatakan hendak berehat di bawah sebatang pokok rambai kerana hari hujan.
Menurutnya, memandangkan masih terkena hujan, rakannya beralih ke bawah pokok sawit berdekatan namun mangsa tidak berbuat demikian.
"Sejurus kemudian, Nurul Ahwan ternampak cahaya disusuli dengan bunyi kuat sebelum mangsa tiba-tiba rebah dan terbaring tidak sedarkan diri di bawah pokok," katanya.
Mohamad Zamri berkata, kejadian kemudian dimaklumkan kepada seorang lagi pekerja (pengadu) sebelum lelaki itu ke lokasi kira-kira jam 2 petang dan mendapati mangsa terbaring tidak sedarkan diri lalu terus ke balai buat laporan polis.
"Sepasukan anggota polis ke lokasi dan hasil pemeriksaan luaran ke atas tubuh mangsa dapati tiada sebarang kesan lebam atau luka yang boleh di kaitkan dengan perbuatan khianat.
"Pemeriksaan di kawasan sekitar menemui kesan pada pokok rambai di percayai akibat terkena panahan petir," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk proses bedah siasat. - Sinar Harian
#panah petir #meninggal dunia #pokok sawit #warga asing
;