Buruh kena 10 tahun penjara laku amang seksual terhadap anak saudara 5 tahun
Nur Fazlizai Ali
November 11, 2021 18:34 MYT
November 11, 2021 18:34 MYT
KUALA TERENGGANU: Seorang buruh dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya yang berusia lima tahun, dekat sini, Mac lalu.
Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 45 tahun mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan yang berusia 5 tahun di Dungun, pada 13 Mac lalu antara jam 6 hingga 7 pagi.
Tertuduh turut didakwa mengulangi perbuatan yang sama ke atas mangsa pada jam yang sama, keesokan harinya di lokasi yang sama.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap 22 Mac lalu.
Selain itu, tertuduh juga diarahkan menjalani perintah pengawasan selama setahun selepas hukuman penjara selesai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.