Buruh dipenjara lapan tahun lakukan amang seksual terhadap anak tiri

Bernama
Mei 20, 2024 17:00 MYT
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berkenaan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 14 Mei lepas. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan ke atas seorang buruh kerana melakukan amang seksual terhadap anak tirinya serta mengugutnya, dua minggu lepas.
Hakim Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap lelaki berusia 44 tahun itu bagi kesalahan amang seksual dan tiga tahun untuk pertuduhan mengugut selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berkenaan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 14 Mei lepas.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual ke atas remaja perempuan berumur 16 tahun di sebuah rumah di Kampung Lubok Jambu, Kota Bharu pada 3 petang, 9 Mei lepas.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebat.
Dia juga didakwa pada tarikh dan masa sama melakukan ugutan jenayah menggunakan sebilah pisau untuk mencederakan mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
#buruh dihukum penjara #amang seksual #anak tiri #Mahkamah Sesyen Kota Bharu
;