Buruh dipenjara 21 tahun, 14 sebatan, tipu skim bantuan e-Kasih tidak wujud

Abd Razak Mohd Ali
Julai 24, 2024 16:00 MYT
Tertuduh Muhammad Halmi Ismail, 49, dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.
IPOH: Seorang buruh dihukum penjara 21 tahun dua bulan dengan 14 sebatan selepas mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan di Ipoh pada Rabu atas 13 pertuduhan menipu skim bantuan e-Kasih yang tidak wujud sejak Januari hingga Julai lalu.
Tertuduh, Muhammad Halmi Ismail, 49, bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara empat tahun selepas Majistret Siti Nora Sharif dan Majistret S. Punitha memerintahkan hukuman itu dijalankan serentak mulai tarikh sabitan hari ini.
Di Mahkamah Majistret 1, bapa empat orang anak itu di hukum penjara enam tahun dengan empat sebatan selepas mengaku bersalah terhadap empat tuduhan memperdayakan empat warga emas berjumlah RM2,150.
Majistret Siti Nora memerintah hukuman penjara dijalan serentak selepas tertuduh selesai menjalani hukuman di Penjara Alor Setar, Kedah, pada 29 Jun 2025.
Di Mahkamah Majistret 2 pula, tertuduh dihukum penjara 15 tahun dua bulan dengan 10 kali sebatan selepas mengaku bersalah terhadap sembilan pertuduhan memperdayakan sembilan mangsa melibatkan kerugian RM4,230.
Mahkamah diberitahu, tertuduh menyasarkan golongan warga emas sebagai mangsa, termasuk peniaga dan Orang Kurang Upaya (OKU) di sekitar Ipoh.
Mahkamah turut diberitahu, mangsa mengalami kerugian antara RM200 dan RM900, kononnya untuk membuka akaun bank.
Mangsa bukan sahaja mengalami kerugian wang tunai, malah kad pengenalan mereka juga dibuang tertuduh.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes penipuan bantuan e-Kasih sejak Januari lalu membabitkan kerugian sebanyak RM16,250 dengan mensasarkan golongan warga emas sebagai mangsa.
Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya berjaya menahan suspek berusia 49 tahun itu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Kedah pada 2 Julai lalu setelah menerima 38 laporan mengenai kes penipuan berkenaan.
Menurutnya, lelaki itu menghadapi 36 pertuduhan di beberapa mahkamah di Perak bermula hari ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan sebat serta hendaklah dikenakan denda.
#kes tipu #bantuan e-kasih #hukuman penjara #keputusan mahkamah
;