Buruh didakwa rogol remaja 13 tahun dengan mengacu pisau di leher
Muhafandi Muhamad
Mac 8, 2021 13:53 MYT
Mac 8, 2021 13:53 MYT
KOTA BHARU: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dengan mengacukan pisau di leher mangsa dalam kejadian di Jalan Bayam, di sini 25 Februari lalu.
Tertuduh, Jafrifoo Che Ali, 49 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh merogol remaja terbabit yang mana sebelum itu tertuduh meletakkan diri mangsa dalam ketakutan dengan mengacukan pisau kepada mangsa.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Bayam jam 7 malam pada 25 Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut seksyen 376(2) Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara minimum 10 sehingga 30 tahun dan juga sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin dan tertuduh diwakili peguam, Nur Fatin Shahirah Abu Hassan.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 5 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.