Buruh didakwa culik dua pelarian Rohingya

Muhafandi Muhamad
Januari 24, 2023 15:10 MYT
Tertuduh Hafiy Zulhilmy Hassan (tengah) mengaku tidak bersalah atas dakwaan menculik dua pelarian etnik Rohingya pada Jumaat lepas. - Foto Astro AWANI
KOTA BHARU: Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas dakwaan menculik dua pelarian etnik Rohingya pada Jumaat lepas.
Tertuduh Hafiy Zulhilmy Hassan, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama dua lagi individu yang masih bebas didakwa menculik Soleh Ahmad Habes Ahmad, 30-an dan Abdul Hamin Abu Tahir, 20-an, dengan niat mengurung kedua-duanya di Taman Arif, Kok Lanas pada 20 Januari lepas.
Kedua-dua mangsa juga merupakan pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan bekerja sebagai buruh.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimun tujuh tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan mahkamah menetapkan 26 Februari depan untuk sebutan semula kes.
#culik pelarian #etnik rohingya #Mahkmah Sesyen #Kota Bharu
;