Buruh cabul anak saudara semasa potong bawang didenda RM5,000

Sinar Harian
Julai 31, 2023 16:38 MYT
Dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan anak saudaranya berusia 24 tahun dengan memegang bahu, memicit sehingga ke rusuk kiri, mencium pipi dan menunjukkan kemaluannya kepada mangsa. - Gambar hiasan
PETALING JAYA: Tindakan pekerja buruh mencabul kehormatan anak saudara perempuannya dengan mencium pipi dan menunjukkan kemaluan ketika mangsa memotong bawang di dapur mengundang padah apabila dia didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.
Tertuduh dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan anak saudaranya berusia 24 tahun dengan memegang bahu, memicit sehingga ke rusuk kiri, mencium pipi dan menunjukkan kemaluannya kepada mangsa.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di sini pada 8.30 malam, 15 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Sekyen 354 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada waktu kejadian, mangsa yang memotong bawang di dapur didatangi bapa saudaranya itu dan berdiri di sebelah kiri.
Lelaki itu kemudiannya mencabul mangsa dengan menyentuh belakang badan, mencium dan menunjukkan kemaluannya.
Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal memohon agar mahkamah menjatuhi hukuman setimpal dengan mengambil kira kekerapan kes yang berlaku. - Sinar Harian
#kes cabul #cabul anak saudara #hukuman mahkamah #tunjuk kemaluan
;