Buruh binaan warga Bangladesh ditemui maut di rumah kongsi

Astro Awani
Februari 28, 2019 07:45 MYT
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat. - Astro AWANI
Seorang buruh binaan warga Bangladesh ditemui mati di sebuah rumah kongsi di tapak projek pembinaan Hospital Daerah Dungun di sini pada Khamis.
Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Bukolmia, 43 tahun, ditemui oleh rakannya sebiliknya dalam keadaan tertiarap di dalam bilik air kira-kira jam 10 malam.
Menurut Sohabur Sohel, 31 tahun, yang memaklumkan kepada penyelia tapak projek berkenaan selepas menemui mangsa, ketika kejadian dia berada di luar rumah kongsi.
Kali terakhir dia berjumpa dengan mangsa ialah pada kira-kira jam 6 petang, selepas selesai waktu bekerja.
Bukolmia baru tujuh bulan bekerja di tapak projek berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Menurutnya, sepasukan lima anggota polis dari Balai Polis Dungun bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Siasatan awal terhadap mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.
#Baharudin Abdullah #Bangladesh #buruh binaan #Dungun #Hospital #jenayah #mangsa #maut #mayat #polis #rumah kongsi #siasatan
;