Buruh binaan maut dipanah petir

Sinar Harian
September 16, 2018 10:17 MYT
Panahan petir itu menyebabkan mangsa jatuh ke lantai aras dua banglo berkenaan dengan keadaan baju yang koyak rabak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Gambar hiasan
Seorang buruh binaan dipercayai warga asing maut akibat dipanah petir dalam satu kejadian di sebuah tapak pembinaan rumah banglo di Kampung Rhu Muda di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa berumur 52 tahun itu berada di bahagian bumbung banglo berkenaan maut sejurus terkena panahan petir yang tepat pada tubuhnya.
Menurut sumber, mangsa terbabit masih melakukan kerja pembinaan ketika cuaca mendung dan kilat sabung-menyabung sementara rakan lain mula turun ke tempat selamat untuk berlindung.
Panahan petir itu menyebabkan mangsa jatuh ke lantai aras dua banglo berkenaan dengan keadaan baju yang koyak rabak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 5.46 petang, semalam.
Menurutnya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
"Bedah siasat akan dijalankan pada pagi ini," katanya.
#banglo #bumbung #buruh binaan #Hospital Sultanah Nur Zahirah #Kampung Rhu Muda #kerja pembinaan #Marang #mati #maut #mayat #meninggal dunia #Mohd Suhaimi Ali #polis #rumah #warga asing
;