Buruh binaan maut, adik cedera parah motosikal bertembung lori
Sinar Harian
September 3, 2021 10:42 MYT
September 3, 2021 10:42 MYT
TEMERLOH: Seorang buruh binaan maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah lori dan diseret kira-kira 10 meter dalam kejadian di Kilometer (KM) 139 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.05 petang itu, mangsa, T. Vellasamygaenesan, 29, beralamat dari Taman Sri Layang, Mentakab meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya, T. Mathanaruban, 27 yang membonceng motosikal cedera parah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Roslee Omar berkata, kejadian membabitkan motosikal jenis Yamaha 135LC dan lori jenis Hino.
Menurutnya, hasil siasatan awal, mendapati kemalangan berlaku apabila lori yang dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun dari kilang papan Batu 5 menghala ke kedai di kawasan perindustrian di Mentakab.
"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu lori itu ternampak motosikal yang ditunggang oleh mangsa dari arah bertentangan telah masuk ke laluannya.
"Pemandu lori itu cuba mengelak ke kiri tetapi kerana jarak terlalu hampir, kedua-duanya telah bertembung," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, mangsa bersama motosikalnya diseret dan meninggal dunia di tempat kejadian sementara adiknya patah kaki kiri manakala pemandu tidak cedera.
Tambahnya, motosikal terbabit remuk manakala bumper bahagian kiri dan cermin hadapan pecah akibat kejadian tersebut.
"Mayat mangsa dibawa Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk bedah siasat selepas mendapat keputusan saringan COVID-19 manakala adiknya dihantar ke hospital sama untuk rawatan selanjutnya.
"Polis sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan manakala kenderaan terlibat akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
*Berita asal di Sinar Harian
#motosikal rempuh lori
#buruh binaan maut
#motosikal masuk laluan bertentangan
#motosikal dan lori bertembung