Buruh binaan dipenjara 3 bulan ugut bunuh, bogel di depan rumah jiran wanita
Bernama
Januari 5, 2022 17:22 MYT
Januari 5, 2022 17:22 MYT
KUALA LUMPUR: Akibat mengugut untuk membunuh dan berbogel di hadapan rumah seorang wanita yang juga jirannya, seorang buruh binaan dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini.
Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas A. Anbalagan, 38, selepas dia mengaku salah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.
Lelaki itu dijatuhi hukuman penjara tiga bulan bagi kesalahan mengugut manakala penjara dua bulan bagi pertuduhan berbogel dan kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 Nov 2021.
Anbalagan didakwa mengugut untuk membunuh wanita berumur 36 tahun itu dengan niat untuk mendatangkan cedera, di hadapan rumah mangsa di Batu Arang, Gombak di sini, pada 8.40 malam, 2 Nov 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa melakukan perbuatan lucah dengan berbogel di tempat awam di lokasi sama, pada 7 pagi, 3 Nov 2021 dan dituduh mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.
Peguam M. Mariappan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan ketika kejadian anak guamnya mabuk dan tidak ingat apa yang berlaku serta memohon maaf atas kesilapan itu.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh memandangkan mangsa adalah jirannya.
-- BERNAMA