Buruh binaan cuba "suap" polis dipenjara empat bulan, denda RM10,000
Bernama
Ogos 20, 2024 20:26 MYT
Ogos 20, 2024 20:26 MYT
ALOR SETAR: Seorang buruh binaan dijatuhkan hukuman penjara empat bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menawarkan suapan kepada anggota polis di Langkawi tahun lepas.
Hakim N. Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu selepas Md Isham Desa, 36, mengaku bersalah.
Md Isham dituduh menawarkan suapan wang tunai kepada seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Kuah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang dikatakan memiliki dadah jenis syabu dan heroin.
Kesalahan itu dilakukan di dalam kereta jenis Honda Accord di luar Kedai Serbaneka 24 Jam Chois di Taman Sri Langkawi, Jalan Padang Matsirat pada 2.30 pagi, 27 Dis 2023.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noor Azura Zulkiflee dan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA