Buruh asing lintas jalan secara berbahaya, maut dirempuh
Ruzaini Zulkepli
September 2, 2019 05:30 MYT
September 2, 2019 05:30 MYT
Seorang buruh asing maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika melintas dalam kejadian di Kilometer 8 Jalan Beaufort-Papar, pada Isnin.
Dalam insiden dipercayai langgar lari itu, mangsa dikenali sebagai Sukarno Pulalon, 35 tahun, yang bekerja sebagai buruh binaan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Dep Supt Azmir Abdul Razak dalam kenyataan medianya berkata, kemalangan itu difahamkan berlaku kira-kira jam 6.30 petang Isnin.
Jelasnya, mangsa dikatakan dirempuh sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di mana pemandunya bertindak melarikan diri dari lokasi sejurus kejadian.
"Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan yang dipercayai jenis Toyota Hilux tersebut dalam perjalanan dari arah Papar menuju ke arah Beaufort.
"Pemandu Hilux berkenaan telah melanggar mangsa yang sedang melintas jalan dari arah kanan ke kiri jalan dan kemudian bertindak meninggalkan tempat kejadian," katanya.
Mengulas lanjut, Azmir berkata, siasatan awal turut mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian mangsa yang melintas jalan secara berbahaya.
"Tiada unsur-unsur jenayah terkesan dalam kemalangan ini.
"Namun siasatan lanjut masih diteruskan dan usaha mengesan kenderaan serta pemandu yang melarikan diri giat dijalankan," katanya.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat awal polis, Toyota Hilux yang terlibat dalam insiden itu dipercayai berwarna hitam dan identiti pemandu masih belum dapat dikenal pasti.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Azmir Abdul Razak
#buruh asing
#dirempuh kenderaan
#Jalan Beaufort-Papar
#jenayah
#kecuaian mangsa
#kemalangan
#langgar lari
#mangsa
#maut
#melintas jalan
#melintas secara berbahaya
#meninggal dunia
#polis
#siasatan
#Sukarno Pulalon
#warga asing