Buruh asing di Malaysia ditindas?

Isabelle Leong
Februari 13, 2020 07:36 MYT
Mohd Asri berkata kawasan perumahan pekerja di situ berada dalam keadaan yang buruk dan persekitarannya yang penuh dengan kekotoran boleh menjejaskan keselamatan dan kesihatan pekerja asing tersebut. -BERNAMA
HIDUP daif ibarat pengemis.
Itulah yang dilalui segelintir buruh asing di negara ini, meskipun pelbagai undang-undang dan akta telah digubal bagi melindungi warga asing ini.
Namun, ia dilihat sekadar melepaskan batok di tangga, apabila tinjauan Astro AWANI mendapati beberapa lokasi penempatan warga asing tidak seperti yang diseru kerajaan.
Tinjauan bersama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di salah sebuah kawasan penempatan buruh asing di Perlabuhan Klang pada Khamis amat mengejutkan apabila kemudahan awam tidak disediakan buat puluhan buruh ini.
Rumah yang hanya beratapkan kanvas dan diselubungi bau yang tidak menyenangkan menjadi lumrah kehidupan buruh asing yang mencari sesuap nasi di bumi Malaysia ini.
Pengarah Bahagian Standard Perburuhan JTKSM, Mohd Asri Abdul Wahab berkata kawasan perumahan pekerja di situ berada dalam keadaan yang buruk dan persekitarannya yang penuh dengan kekotoran boleh menjejaskan keselamatan dan kesihatan pekerja asing tersebut.

Seterusnya, kami membuat tinjauan di tempat tinggal pekerja di kilang ini. Pengarah Bhg Standard Perburuhan @JabatanKerja Mohd Asri berkata tempat tinggal pekerja yang disediakan tidak mematuhi Garis Panduan Standard Minimum Penyediaan Penginapan Pekerja Asing.@501Awani pic.twitter.com/RwXkhot2Ub

— Isabelle Leong (@IsabelleAWANI) February 13, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Jika saya boleh menggambarkan kawasan perumahan ini, saya guna istilah daif, amat teruk dan persekitarannya penuh dengan kekotoran.
“Belum cerita lagi soal nyamuk dan juga perparitan yang mungkin akan menjejaskan keselamatan dan kesihatan pekerja,” kata Mohd Asri pada sidang media selepas melakukan operasi khas di sebuah kilang perabot di Teluk Gong, Pelabuhan Klang pada Khamis.
Justeru, Mohd Asri menyeru majikan agar menjaga kebajikan pekerja warga asing kerana majikan yang gagal menjaga kebajikan pekerja termasuk dalam elemen buruh paksa.
"Majikan yang menggajikan pekerja asing dan tempatan ini perlu menjaga mereka seperti anak sendiri dimana majikan perlu memastikan keselesaan yang diterima pekerja selepas seharian bekerja."
"Kami juga mahu mengingatkan orang awam untuk menjadi mata dan telinga pihak kami sekiranya mengesan majikan yang melanggar peraturan atur kerja.
“Pekerja juga boleh melaporkan sendiri jika mereka berasa ditindas dan tidak dibayar gaji yang setimpal kepada Jabatan Tenaga Kerja yang berhampiran," katanya.
Sehingga kini, seramai 15.46 juta pekerja warga asing berada di negara ini.
Persoalannya, sampai bilakah buruh asing di Malaysia akan terus ditindas?
#buruh asing #ditindas #Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia #JTKSM #Malaysia #pengemis
;