Buru hidupan liar untuk juadah raya
Sinar Harian
April 12, 2024 09:45 MYT
April 12, 2024 09:45 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengesan pemburu haram yang menyasarkan hidupan liar untuk dijadikan juadah hari raya.
Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, daging hidupan liar diburu kerana mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminatnya.
"Kebanyakan pembeli rasa bangga dapat hidangkan daging liar yang sukar diperoleh ketika hari raya untuk dijamu kepada tetamu.
“Bagi hidupan liar yang dijadikan sebagai haiwan peliharaan pula, ia mendatangkan satu kepuasan kepada pemilik apabila dapat pamerkan kepada kenalan,” ujarnya.
Menurutnya, antara hidupan liar yang dicari untuk musim perayaan adalah rusa, pelanduk, kijang, landak, ayam hutan, punai tanah, punai daun dan ruak-ruak.
“Pada kebiasaannya, modus operandi untuk aktiviti pemburuan hidupan liar dikesan dijalankan seminggu sebelum bulan Ramadan sehingga menjelang hari raya.
“Daging hidupan liar pula akan dijual secara tertutup kepada kenalan terdekat sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas mengenai pemilikan hidupan liar dilindungi, Abdul Kadir berkata, pihaknya mengesan aktiviti penjualan hidupan liar secara haram di platform media sosial yang menjalankan promosi sempena musim perayaan ini dengan tawaran harga menarik.
“Malah, penjual menggunakan kaedah dropshipping di mana penjual bertindak sebagai orang tengah yang tidak memegang stok hidupan liar dan hanya menerima komisen sahaja.
“Transaksi dijalankan secara atas talian atau cash on delivery (COD) dan penghantaran hidupan liar kepada pelanggan dijalankan sama ada menggunakan perkhidmatan kurier atau pengangkutan awam,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru keprihatinan dan kerjasama agensi-agensi penguatkuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah hidupan liar dalam usaha melindungi khazanah biodiversiti negara ini agar tidak diancam kepupusan.
“Perhilitan memberi amaran kepada mana-mana individu yang menjalankan kegiatan jenayah hidupan liar agar menghentikan serta-merta aktiviti terbabit atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang.
“Sebarang laporan berkaitan jenayah hidupan liar boleh disalurkan kepada jabatan melalui hotline 1800-88-5151 atau e-aduan melalui laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.
INFO
(A) Statistik kes sepanjang Ramadan
- 10 kes direkodkan di semenanjung Malaysia
- Senarai rampasan:
•Murai batu (14),
•Bayan serindit (11)
•Punai daun (20)
•Kelicap kunyit (9)
•Merbah luris leher (9)
•Bayan puling (3)
•Beruk (3)
•Harimau kumbang (1)
- Nilai keseluruhan melebihi RM 500,000.00.
(B) Undang-undang
-Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 di bawah Seksyen 60, 61 dan 62.
-Hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan penjara tujuh tahun.
-Bagi hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Seksyen 68, 69 dan 70 boleh membawa hukuman denda sehingga RM 500,000 dan penjara tidak melebihi tempoh 15 tahun. - Sinar Harian