Bursa Malaysia wujudkan Voluntary Carbon Market tahun ini - Perdana Menteri
Ridauddin Daud
Jun 5, 2022 12:03 MYT
Jun 5, 2022 12:03 MYT
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia di bawah Bajet 2022 akan mewujudkan Voluntary Carbon Market pada tahun ini, sebagai menunjukkan komitmen negara mencapai "Negara Sifar Karbon" seperti diumumkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan elektrik juga disediakan bagi merancakkan agenda ekonomi hijau di Malaysia.
Menurutnya, usaha itu juga diselaraskan dengan Pelan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia ke arah menjadikan Malaysia Lestari 2030 yang berteraskan pengukuhan tadbir urus, pertumbuhan hijau, kolaborasi strategik dan keterangkuman sosial.
"Selain itu, agenda hijau juga perlu disemai di peringkat pentadbiran kerajaan tempatan dengan mencontohi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengumumkan aspirasi Kuala Lumpur sebagai bandar raya Net Zero Carbon menjelang tahun 2050.
"Komitmen negara menerusi pelaburan sifar atau rendah karbon dan teknologi hijau, diharap dapat menarik pelabur-pelabur untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi hab pelaburan hijau," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu semua syarikat pelaburan di bawah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menyelaras pelan tindakan dan sasaran kelestarian alam daripada syarikat mereka dengan memantau dan menyediakan laporan lebih terangkum.
"Menerusi pentadbiran secara bersama Kementerian Kewangan dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia, Dana Amanah Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (MySDG Trust Fund) diwujudkan dengan peruntukan RM20 juta.
"Ia adalah sebagai dana permulaan bagi menyokong program Kerajaan berorientasikan Matlamat Pembangunan Lestari di seluruh negara," ujarnya.
Sementara itu, Ismail Sabri juga menzahirkan penghargaan terhadap masyarakat setempat yang bertindak memajukan sendiri persekitaran mereka agar menjadi lebih hijau dan lestari.
"Sebagai contoh, Projek Komuniti Kebun-Kebun Bangsar dan Kebun-Kebun Kerinchi di Kuala Lumpur ini.
"Menariknya, kebun sayur-sayuran ini diusahakan oleh komuniti setempat menggunakan dana mereka sendiri untuk mendidik dan menggalakkan penglibatan orang ramai dengan hasil tanamannya, turut dikongsi dengan golongan kurang berkemampuan," katanya.
"Konsep ‘empowering the community’ inilah yang ingin saya perluaskan bagi merealisasi agenda hijau negara. Justeru itu, saya mahu agensi kerajaan berkaitan turut membantu terutamanya memudahkan urusan serta memberi bantuan yang diperlukan," katanya.