KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd hari ini menafikan yang ia mengeluarkan sebarang komunikasi berkaitan pelaburan di aplikasi WhatsApp dan menggesa orang ramai supaya berhati-hati dan berwaspada terhadap sebarang penipuan dalam pelaburan.

Dalam satu kenyataan, bursa itu berkata penipuan terbaharu adalah menerusi WhatsApp, yang mana penerima diminta membuat susulan pada akaun dagangan mereka atau menyertai kumpulan WhatsApp dengan menghubungi nama dan nombor mudah alih yang diberikan dalam mesej WhatsApp.

"Bursa Malaysia menafikan yang ia mengeluarkan komunikasi ini," katanya.

Bursa itu mencatatkan peningkatan dalam laporan penipuan pelaburan, dengan penipu menggunakan pelbagai saluran media sosial, termasuk aplikasi sembang popular seperti WhatsApp, Telegram dan iMessage untuk menarik orang ramai yang tidak berwaspada menyertai skim pelaburan yang meragukan.

Bursa Malaysia sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila didekati oleh mana-mana pihak yang menggambarkan diri mereka mewakili bursa, pekerjanya atau ejen pihak ketiga yang disahkan.

Ia menambah penipuan baru-baru ini melibatkan penggunaan nama dan gambar pengurusan tertinggi Bursa Malaysia untuk menarik orang ramai melabur dalam skim pelaburan yang tidak dibenarkan.

"Bursa Malaysia juga ingin mengingatkan orang ramai supaya hanya melabur dengan ahli profesional pelaburan berlesen," tambahnya.

Selain itu bursa turut memperkenalkan inisiatif #StayAlert yang menjadi sebahagian daripada perkhidmatan awam Bursa Malaysia untuk mendidik orang ramai terhadap penipuan pelaburan, termasuk program pengurusan kewangan Sens-Ability.

Orang ramai dinasihatkan untuk mengunjungi Bursa Academy di https://bursaacademy.bursamarketplace.com/en/investor-alert untuk melihat senarai perantara dan wakil yang berlesen.

-- BERNAMA