Bursa Malaysia mulakan tindakan undang-undang terhadap Serba Dinamik
Bernama
November 23, 2021 04:19 MYT
November 23, 2021 04:19 MYT
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd menyatakan ia telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Serba Dinamik Holdings Bhd.
Saman itu, di bawah seksyen 360 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, adalah "untuk mengarahkan Serba Dinamik membuat pengumuman umum dengan segera mengenai Kemas Kini Dapatan Berdasarkan Fakta di Kajian Bebas Khas setakat 30 sept, 202.
"Permohonan mahkamah itu dibuat berikutan kegagalan Serba Dinamik untuk mematuhi arahan Bursa Malaysia bertarikh 22 Okt, 2021," kata pengawal selia bursa saham itu dalam satu kenyataan pada Selasa.
Arahan Bursa Malaysia dikeluarkan menuntut Serba Dinamik mendedahkan dapatan ketara daripada Kemas Kini Dapatan Berdasarkan Fakta setakat 30 Sept, 2021, yang dilantik oleh Serba Dinamik untuk menjalankan kajian bebas bagi menilai kebenaran dan ketepatan perkara yang dibangkitkan oleh juruaudit statutori Serba Dinamik pada masa itu, KPMG.
Permohonan mahkamah itu dibuat, "sebagai melaksanakan peranan dan tanggungjawab Bursa Malaysia Securities dalam mengawal selia kendalian dan menguatkuasakan pematuhan dengan obligasi berterusan penerbit tersenarai mengikut Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama," katanya.
-- BERNAMA