Bursa Malaysia ditutup rendah seiring prestasi pasaran serantau

Bernama
Ogos 2, 2024 12:39 MYT
Petunjuk pasaran dibuka rendah 4.94 mata kepada 1,619.31 dan bergerak antara 1,607.75 dan 1,619.31 sepanjang sesi dagangan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada Jumaat berikutan jualan meluas, seiring dengan kemerosotan bursa serantau apabila pelabur terus berhati-hati dengan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang perlahan dan jangkaan kenaikan kadar yang seterusnya di Jepun.
Sentimen negatif pada masa ini turut dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik yang meningkat di Timur Tengah baru-baru ini.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 13.20 mata atau 0.81 peratus kepada 1,611.05 daripada 1,624.25 semasa ditutup semalam.
Petunjuk pasaran dibuka rendah 4.94 mata kepada 1,619.31 dan bergerak antara 1,607.75 dan 1,619.31 sepanjang sesi dagangan.
Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 1,316 berbanding 155, dengan 267 kaunter tidak berubah, 680 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan menokok kepada 5.17 bilion unit bernilai RM3.98 bilion daripada 3.51 bilion unit bernilai RM2.71 bilion pada Khamis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pelabur mengambil pendekatan berhati-hati memandangkan sektor pembuatan AS merosot untuk bulan keempat berturut-turut pada Julai, dengan kadar faedah tinggi terus menjejaskan permintaan pesanan baharu.
"Seluruh perhatian kini tertumpu kepada laporan senarai gaji bukan ladang yang dikeluarkan lewat malam ini, yang dijangka menggariskan pandangan penting mengenai pasaran buruh AS dan keadaan ekonomi keseluruhan.
"Ini membantu mewujudkan jangkaan pelabur dari segi masa dan magnitud penurunan kadar Rizab Persekutuan lewat tahun ini," katanya kepada Bernama.
Indeks Nikkei 225 Jepun merosot 5.81 peratus kepada 35,909.70 selepas Bank of Japan menaikkan penanda aras kadar faedahnya kepada kira-kira 0.25 peratus pada Rabu, paras tertinggi sejak 2008. Pasaran menjangka satu lagi kenaikan kadar menjelang akhir tahun ini.
Sementara itu, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 2.08 peratus kepada 16,945.51, Indeks Komposit SSE Shanghai rendah 0.92 peratus kepada 2,905.34, dan Indeks STI Singapura merosot 1.12 peratus kepada 3,381.45.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menyusut 2.0 sen kepada RM10.24, Tenaga Nasional turun 14 sen kepada RM13.96, CIMB berkurangan 3.0 sen kepada RM7.40, IHH Healthcare rendah 7.0 sen kepada RM6.25 manakala Public Bank meningkat 2.0 sen kepada RM4.28.
Bagi saham aktif, Hubline susut 3.0 sen kepada 10 sen, Velesto Energy turun setengah sen kepada 21.5 sen, My E.G. berkurangan 4.0 sen kepada 97 sen, Top Glove rendah 5.0 sen kepada 98 sen manakala Ta Win tidak berubah pada 3.0 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 207.37 mata kepada 12,303.50, Indeks FBMT 100 berkurangan 182.70 mata kepada 11,919.95, Indeks FBM Emas Syariah merosot 279.63 mata kepada 12,448.15, Indeks FBM ACE berkurangan 161.21 mata kepada 5,470.41, dan Indeks FBM 70 rendah 587.70 mata kepada 17,902.80.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 48.38 mata kepada 18,231.59,Indeks Tenaga merosot 30.02 mata kepada 929.15, Indeks Perladangan turun 48.31 mata kepada 7,143.61,dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 5.51 mata kepada 185.50.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.22 bilion unit bernilai RM3.59 bilion daripada 1.92 bilion unit bernilai RM2.42 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.10 bilion unit bernilai RM128.67 juta daripada 810.63 juta unit bernilai RM105.39 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE mengukuh kepada 847.38 juta saham bernilai RM260.33 juta daripada 727.03 juta saham bernilai RM186.84 juta sebelum ini.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 469.15 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (664.74 juta), pembinaan (376.77 juta), teknologi (323.39 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (130.67 juta), hartanah (341.58 juta), perladangan (31.55 juta), REIT (16.24 juta), dana tertutup (112,300), tenaga (253.92 juta), penjagaan kesihatan (118.81 juta), telekomunikasi dan media (51.38 juta), pengangkutan dan logistik (349.53 juta), utiliti (88.75 juta), dan amanah perniagaan (1.02 juta).
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #rizab persekutuan #Top Glove