Bursa Malaysia ditutup rendah menjelang Belanjawan 2023
Bernama
Februari 23, 2023 22:54 MYT
Februari 23, 2023 22:54 MYT
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini dalam persekitaran sentimen pasaran berhati-hati menjelang pembentangan semula Belanjawan 2023 esok.
Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 6.35 mata atau 0.43 peratus ditutup kepada 1,457.65 daripada 1,464.0 pada Rabu.
Indeks dibuka tinggi 0.58 mata kepada 1,464.58 dan bergerak antara 1,456.30 dan 1,467.63 sepanjang hari dagangan.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 479 berbanding 408 manakala 421 kaunter tidak berubah, 927 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan merosot kepada 3.33 bilion unit bernilai RM2.25 bilion daripada 3.51 bilion unit bernilai RM2.07 bilion pada Rabu.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberitahu Bernama bahawa jualan sejak beberapa hari lepas akan memberikan peningkatan yang mencukupi kepada pelabur berikutan penilaian indeks petunjuk pasaran yang menjadi lebih menarik berdasarkan keadaan ekonomi tempatan yang bertambah baik.
"Oleh itu, kami menjangka terdapat aktiviti pengambilan untung dan menjangka FBM KLCI akan diniagakan tinggi dalam julat antara 1,460-1,475 menjelang hujung minggu," katanya.
Saham wajaran tinggi Maybank naik tiga sen kepada RM8.69, CIMB dan TNB, masing-masing tidak berubah pada RM5.47 dan RM9.65, Public Bank merosot satu sen kepada RM4.12, Petronas Chemicals berkurangan 40 sen kepada RM7.80 dan IHH Healthcare susut 10 sen kepada RM5.89.
Bagi saham aktif, Dagang NeXchange meningkat 2.5 sen kepada 64.5 sen, MY EG menambah 3.5 sen kepada 68.5 sen, Sapura Energy dan Velesto, masing-masing tidak berubah pada 4.5 sen dan 24 sen, Hong Seng berkurangan 3.5 sen kepada 15 sen dan Zen Tech merosot setengah sen kepada tiga sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 25.53 mata kepada 10,613.68, Indeks FBMT 100 jatuh 29.56 mata kepada 10,286.46, Indeks FBM Emas Shariah merosot 37.33 mata kepada 10,931.72, Indeks FBM 70 naik 26.82 mata kepada 13,415.68 dan Indeks FBM ACE meningkat 78.58 mata kepada 5,559.17.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 26.40 mata kepada 15,969.07, Indeks Perladangan berkurangan 26.65 mata kepada 6,806.36, Indeks Tenaga menambah 2.44 mata kepada 864.44 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 1.73 mata kepada 184.30.
Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 2.21 bilion saham bernilai RM1.91 bilion daripada 2.29 bilion saham bernilai RM1.73 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 327.79 juta unit bernilai RM51.70 juta daripada 364.31 juta unit bernilai RM65.77 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 735.91 juta saham bernilai RM290.60 juta daripada 749.65 juta saham bernilai RM271.48 juta sebelum ini.
Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 263.42 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (447.89 juta); pembinaan (118.85 juta); teknologi (714.06 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (57.50 juta); hartanah (172.46 juta); perladangan (44.19 juta); REIT (9.45 juta), dana tertutup (15,000); tenaga (230.92 juta); penjagaan kesihatan (87.44 juta); telekomunikasi dan media (25.49 juta); pengangkutan dan logistik (29.76 juta) dan utiliti (12.56 juta).
-- BERNAMA