Bursa Malaysia ditutup rendah, indeks komposit kekal atas paras 1,600
Bernama
Disember 12, 2024 21:56 MYT
Disember 12, 2024 21:56 MYT
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia bergelut untuk mengekalkan momentum positifnya sepanjang hari dan ditutup rendah sedikit hari ini berikutan jualan lewat dagangan, meskipun prestasi memberangsangkan di pasaran serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.12 mata atau 0.07 peratus kepada 1,602.08 daripada paras penutup 1,603.20 pada Rabu.
Indeks utama itu dibuka rendah turun 1.37 mata kepada 1,601.83 dan bergerak antara paras 1,597.12 dan 1,605.95 sepanjang hari dagangan.
Suasana pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 548 berbanding 466, manakala 541 kaunter tidak berubah, 923 tidak diniagakan dan 39 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.32 bilion unit bernilai RM2.53 bilion daripada 2.59 bilion unit bernilai RM2.46 bilion pada Rabu.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata pergerakan kecil FBM KLCI membayangkan pelabur mungkin mengubah kedudukan portfolio mereka atau mengelak daripada melakukan banyak dagangan memandangkan ketiadaan pemangkin jelas dalam pasaran.
"Sentimen neutral atau berhati-hati ketika ini mungkin dipengaruhi oleh keadaan tidak menentu yang semakin meningkat," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang diumumkan semalam membayangkan kemungkinan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengurangkan kadar faedahnya dalam mesyuaratnya minggu depan.
“Bagaimanapun, pelabur kelihatan cenderung untuk menunggu pengesahan perkara itu selepas pengumuman Fed dan tidak terlibat dalam aktiviti spekulatif," katanya.
Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi November berada pada 2.7 peratus, meningkat daripada 2.6 peratus pada bulan sebelumnya.
IHP Teras kekal stabil pada 3.3 peratus selama tiga bulan berturut-turut, daripada 3.2 peratus pada Ogos, menunjukkan bahawa kadar inflasi kekal stabil.
Mohd Sedek berkata aktiviti pasaran di Bursa Malaysia menunjukkan sedikit peningkatan berbanding semalam, dengan sejumlah 3.32 bilion saham diniagakan, membayangkan aktiviti dagangan yang agak baik walaupun sentimen lemah.
Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata ekuiti Malaysia ditutup bercampur-campur walaupun prestasi positif di seluruh pasaran serantau, dipengaruhi terutamanya oleh jualan asing.
"Indeks utama serantau ditutup tinggi, disokong oleh data inflasi AS, yang mengukuhkan jangkaan penurunan kadar Fed minggu depan.
"Para pelabur juga menantikan perkembangan terkini kemungkinan langkah rangsangan daripada persidangan Central Economic Work Conference (CEWC) China, yang berakhir hari ini," katanya.
Thong menjangkakan FBM KLCI kekal stabil dengan kecenderungan menaik sedikit dalam jangka terdekat ini, kemungkinan bergerak dalam julat 1,600-1,610 menuju ke hujung minggu.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB meningkat 2.0 sen setiap satu kepada RM10.14 dan RM8.13, IHH Healthcare menambah 1.0 sen kepada RM7.17, Public Bank susut 4.0 sen kepada RM4.57, dan Tenaga Nasional turun 20 sen kepada RM13.
Dalam kalangan saham cergas, Zen Tech turun setengah sen kepada setengah sen, TMK Chemical naik 17 sen kepada RM1.92, KPJ Healthcare meningkat 7.0 sen kepada RM2.34, manakala TWL Holdings dan Aizo tidak berubah masing-masing pada 3.0 sen dan 13 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 10.93 mata kepada 12,286.55, Indeks FBMT 100 turun 11.27 mata kepada 11,968.04, Indeks FBM 70 berkurangan 27.96 mata kepada 18,395.05, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 18,395.05.12,267.64, namun Indeks ACE FBM meningkat sebanyak 15.58 mata kepada 5,308.83.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 50.54 mata kepada 19,102.12, Indeks Perladangan meningkat 13.11 mata kepada 7,654.30, Indeks Tenaga menokok 1.86 mata kepada 824.15 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.69 kepada 174.69.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.76 bilion unit bernilai RM2.25 bilion daripada 1.51 bilion unit bernilai RM2.25 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.05 bilion unit bernilai RM151.25 juta daripada 737.61 juta unit bernilai RM92.05 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 503.11 juta unit bernilai RM122.60 juta daripada 341.79 juta unit bernilai RM114.04 juta
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 242.18 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (357.84 juta), pembinaan (92.57 juta), teknologi (267.21 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (68.25 juta), hartanah (292.99 juta), perladangan (33.90 juta), REIT (14.06 juta), ditutup tertutup (5,300), tenaga (124.94 juta), penjagaan kesihatan (128.34 juta), telekomunikasi dan media (46.15 juta), pengangkutan dan logistik (51.65 juta), utiliti (34.52 juta), dan amanah perniagaan (757,600).
-- BERNAMA