Bursa Malaysia dijangka didagang berhati-hati minggu ini

Astro Awani
April 20, 2020 09:09 MYT
DR MOHD AFZANIZAM: Pelabur mahu menyimpan keuntungan mereka terutamanya memandangkan penjualan yang berlaku baru-baru ini. - Gambar/ Sinar Harian
Bursa Malaysia dijangka didagang berhati-hati minggu ini dengan indeks komposit itu kekal sekitar paras sokongan psikologi pada 1,400 mata.
Menurut Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, ia kini di tengah-tengah aktiviti pengambilan untung sederhana.
“Indeks itu dijangka berlegar sekitar paras ini (1,400) minggu (ini) apabila para pelabur menimbang data ekonomi lemah yang akan datang dan harapan ekonomi dibuka semula," katanya.
Menurutnya, pelabur mahu menyimpan keuntungan mereka terutamanya memandangkan penjualan yang berlaku baru-baru ini.
Tambahnya, pelabur akan menimbang data ekonomi yang lemah termasuk data tuntutan pengangguran mingguan di Amerika Syarikat (AS), indeks pengurus penjualan di AS, United Kingdom, zon Eropah dan Jepun.
Data lain termasuk indeks sentimen pengguna AS dan keputusan Bank Pusat China mengenai kadar utama pinjaman setahun dan kadar utama pinjaman lima tahunnya.
Afzanizam berkata, penurunan bilangan kes pesakit dijangkiti pandemik COVID-19 memberi harapan ekonomi akan dibuka tidak lama lagi.
“Malah pakar-pakar kesihatan menasihatkan agar ekonomi tidak dibuka terlalu awal. Oleh itu, akan ada alasan bagi pasaran ekuiti untuk kembali susut dan sesetengah pelabur mahu menyimpan keuntungan mereka,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata kekhuatiran kemungkinan wabak itu menular semula akan terus menjadi kebimbangan utama.
Ini memandangkan hakikat bahawa setakat ini belum ada sebarang vaksin atau antibodi ditemui.
Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia bermula rendah disebabkan sentimen lemah.
Ini ekoran ketidaktentuan dalam pasaran minyak, penurunan penarafan oleh Fitch Ratings ke atas dua bank Malaysia dan kemungkinan kelewatan perbelanjaan modal oleh syarikat minyak utama.
Namun, pasaran mendapat rangsangan daripada kenyataan positif dana kewangan antarabangsa yang mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia berkembang pada kadar sembilan peratus tahun hadapan.
Ini adalah yang paling pantas dalam kalangan ASEAN-5 yang dijangka menyaksikan purata pertumbuhan KDNK pada 7.8 peratus.
#AS #bank #Bursa Malaysia #Islam #KDNK #United Kingdom
;