Bursa Bull Charge muncul kali keenam, warga pasaran kembali berlari

Razak Chik
November 13, 2019 21:54 MYT
Bursa Bull Charge 2019 akan menumpukan sokongan kepada Matlamat ke-4 SDG iaitu Pendidikan Berkualiti dan Matlamat ke-13 iaitu Tindakan Perubahan Iklim.
DUA bulan bersabar – sepatutnya larian amal Bursa Bull Charge (2019) berlangsung pada 12 September; tapi apakan daya, jerebu melanda!
Asap tebal berpunca dari kebakaran ladang sawit pada bulan September di negara jiran menyebabkan edisi keenam acara tahunan ini terpaksa ditangguh.
Dengan ketibaan musim tengkujuh pada hujung Oktober dan usaha pemadaman yang berterusan, jerebu rentas sempadan semakin pulih dan keadaan mengizinkan aktiviti luar berjalan.
Biar lewat, asal selamat, Khamis tiba, Bull Charge – dua bulan lewat.
Bagi pelawat ke Bukit Kewangan berhampiran Puduraya pada Khamis, jangan terkeliru melihat perkarangan Bursa Malaysia berubah wajah menyerupai tapak pesta dengan kewujudan pentas dan khemah berwarna warni seawal pagi.
Acara perlumbaan akan bermula seawal jam 1:45 petang secara berperingkat peringkat sehingga tamat pada jam 6 petang.
Bagi mereka yang berhajat meletak kereta di kawasan berkenaan, perlu bersedia beredar sebelum ruang parkir Bursa Malaysia ditutup sepanjang acara BBC berjalan seawal jam 1 petang hingga jam 6 petang.
Sebagaimana biasa, acara Bursa Bull Charge berjalan dalam 3 bahagian – Larian CEO / Orang Kelainan upaya (1.5 km); Cabaran Korporat / Pemimpin Harapan (5 km) dan Cabaran Korporat (3 km).
Acara Bursa Bull Charge dianjur bertujuan mengumpul dana untuk mempertingkat kefahaman kewangan dan keushawanan serta menyelamat alam sekitar dan membantu cerahkan masa hadapan golongan yang kurang bernasib baik.
Setakat ini, Bursa Bull Charge sudah diakui sebagai acara larian amal terulung melibatkan warga pasaran kalangan syarikat tersenarai, bank pelaburan, broker saham, syarikat SME, kementerian, badan kawal-selia termasuk media.
Bursa Bull Charge 2019 merupakan kesinambungan kepada, dan bertitik tolak dari, kejayaan acara tahun lalu menyokong matlamat pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
BBC keenam akan menumpukan sokongan kepada Matlamat ke-4 SDG iaitu Pendidikan Berkualiti dan Matlamat ke-13 iaitu Tindakan Perubahan Iklim.
Setakat ini, lebih 8,500 peserta sudah mengambil bahagian acara Bursa Bull Charge, menyumbang dana sebanyak RM9.7 juta yang dihulurkan kepada lebih 142 penerima kalangan badan kebajikan terpilih.
Sudah tentu acara larian atas jalan sebegini akan menyebabkan kesesakan lalu lintas bagi warga Kuala Lumpur.
Elok kalau menggunakan pengangkutan awam atau paling kurang, elakkan jalan jalan berikut yang akan ditutup secara berperingkat dari jam 1 petang hingga 3 petang:
  • Jalan Ampang
  • Jalan Sultan Ismail
  • Jalan Raja Chulan
  • Persiaran Maybank
  • Persiaran Raja Chulan
  • Jalan Changkat Raja Chulan
  • Jalan Ceylon
  • Jalan P Ramlee
  • Peserta yang mengambil bahagian turut dinasihat menggunakan pengangkutan awam ke lokasi acara di Bursa Malaysia melalui stesen berikut:
    1) LRT Kelana Jaya – stesen Masjid Jamek (KJ13)
    2) LRT Sri Petaling – stesen Masjid Jamek (SP7) / Plaza Rakyat (AG8)
    3) LRT Ampang – stesen Masjid Jamek (AG7) / Plaza Rakyat (AG8)
    4) MRT Sungai Buloh-Kajang – stesen Merdeka (SBK17)
    5) GoKL (Purple Line) – stesen Menara Olympia / Bukit Ceylon
    #bursa bull charge #Bursa Malaysia #jerebu #larian amal
    ;