Burj Azizi akan pintas Merdeka 118 sebagai bangunan kedua tertinggi dunia

Amanz
September 10, 2024 17:00 MYT
Bangunan Merdeka 118 dinobatkan sebagai bangunan kedua tertinggi dunia awal tahun ini. - Foto Amanz
BANGUNAN Merdeka 118 baru sahaja dinobatkan sebagai bangunan kedua tertinggi dunia awal tahun ini tetapi statusnya disahkan akan dirampas oleh Burj Azizi yang terletak di Dubai.
Burj Azizi yang dijadualkan siap pada tahun 2028 akan mencecah ketinggian 725 meter yang melangkaui ketinggian 678.9 meter Merdeka 118.
Projek pembinaan ini akan menelan belanja $1.5 bilion apabila ia siap kelak.
Ia akan menempatkan tempat kediaman, pejabat, pusat membeli belah dan hotel tujuh bintang.
Semasa projek diumumkan pada Februari lalu, ketinggian akhir Burj Azizi masih dirahsiakan.
Dubai akan menjadi bandar raya yang menempatkan dua bangunan tertinggi dunia dalam masa empat tahun lagi.
Rekod bangunan tertinggi dunia masih dipegang Burj Khalifa yang mencecah 828 meter.
Sungguhpun begitu, Burj Azizi akan memegang rekod sebagai bangunan dengan restoran, kelab malam dan dek pemerhati tertinggi di dunia.
#Merdeka 118 #tertinggi di dunia #Burj Azizi #Burj Khalifa
;