Burger McDonald's dijual di pasaran gelap Rusia
Bernama
Mac 10, 2022 16:44 MYT
Mac 10, 2022 16:44 MYT
MOSCOW: Beberapa produk makanan segera Amerika Syarikat iaitu McDonald's dijual pada harga tinggi menerusi laman web selepas syarikat itu mengumumkan akan menutup "sementara" semua restorannya di Rusia, menurut Agensi Anadolu.
McDonald's pada Selasa mengumumkan bahawa ia akan menghentikan operasi di Rusia.
Penghentian operasi rantaian makanan itu berlaku berikutan peperangan berterusan Rusia terhadap Ukraine, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Chris Kempczinski.
Beliau berkata menerusi e-mel terhadap pekerjanya bahawa "ia telah menyebabkan penderitaan terhadap mereka yang tidak bersalah."
Beberapa hamburger dijual pada harga US$150, lapor Agensi Anadolu.
Cawangan McDonald's pertama dibuka di Dataran Pushkin, Moscow pada 1990 serta dikunjungi sekitar 40,000 pelanggan pada hari pembukaan.
Perang Rusia terhadap Ukraine sejak 24 Feb, telah mengundang kecaman antarabangsa, membawa kepada sekatan kewangan ke atas Moscow dan mendorong kebanyakan firma global meninggalkan Rusia.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 516 orang awam terbunuh dan 908 yang lain cedera sejak Rusia mula menyerang negara itu pada 24 Februari, manakala jumlah sebenar dikhuatiri lebih tinggi.
Sementara itu, lebih 2.1 juta rakyat Ukraine telah melarikan diri ke negara jiran, menurut data terbaharu dikeluarkan Agensi Pelarian PBB.
-- BERNAMA