Bunyi letupan, gegaran di Ipoh dikategorikan misteri - Ayob Khan
Bernama
Oktober 29, 2024 15:30 MYT
Oktober 29, 2024 15:30 MYT
KOTA BHARU: Bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di Ipoh, Perak sehingga kini masih dikategori sebagai misteri, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata polis sedang melakukan siasatan terperinci berhubung insiden berkenaan.
"Setakat ini, polis tidak dapat mengesahkan bunyi itu kerana ia masih lagi misteri," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan selepas menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.
Pada 21 Okt lepas, Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris dilaporkan berkata hasil semakan dengan pihak Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta, tiada latihan berkaitan letupan dijalankan manakala semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian juga mendapati tiada letupan dijalankan di kuari sebelum 12 tengah hari itu.
Berikutan itu, hasil semakan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia pula mendapati Malaysia, khususnya di Ipoh tidak terkesan sebarang aktiviti seismik walaupun terdapat kejadian gempa bumi yang berlaku di Halmahera, Indonesia pada 21 Okt lepas.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai persiapan banjir di Kelantan berikutan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula bulan depan, Ayob Khan berkata pihaknya telah mengatur gerak keanggotaan bagi menghadapi MTL.
Beliau berkata pihaknya telah mengadakan mesyuarat dan persiapan rapi daripada segi kenderaan, bot, malah kekuatan pegawai dan anggota polis di Kelantan sahaja melibatkan lebih 1,000 keanggotaan yang bersiap siaga menghadapi MTL.
"Banjir ini bukan perkara baharu, sebaliknya acara tahunan yang berlaku setiap tahun dan persediaan bukan hanya melibatkan polis tetapi dengan semua agensi," katanya.
Pada 10 Okt lepas, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dilaporkan berkata kerajaan negeri telah menyediakan 19,619 aset pelbagai jenis yang diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa diperlukan dalam menghadapi musim tengkujuh.
-- BERNAMA