'Bunyi kuat seperti dentuman guruh, rupanya tanah runtuh'

Sinar Harian
September 18, 2021 09:29 MYT
Lokasi kejadian ditutup kepada individu yang tidak berkaitan. - Foto Sinar Harian
AMPANG: "Saya dengar bunyi meletup-letup dan dentuman kuat seperti guruh dari belakang rumah. Apabila keluar saya lihat pokok buluh dari atas bukit telah berada betul-betul di tingkap dapur."
Demikian cerita Zul Hafiz Suhaimi, 27, salah seorang penduduk di kediaman dua tingkat di Jalan Kemensah Heights, Ampang yang terpaksa dipindahkan dalam kejadian tanah runtuh sekitar jam 9.30 malam pada Jumaat.
Sementara itu, Suhaimi Sulaiman, 61, yang sudah hampir sedekad tinggal di kawasan itu pula berkata, dia terdengar bunyi kuat seperti letupan sekitar jam 9.15 malam ketika berada di dalam bilik.
"Saya ingat anak saya sedang memasak, tiba-tiba dia berlari ketakutan ke dalam bilik.Dia kata pokok (dari atas bukit) dah jatuh betul-betul di belakang rumah sehingga boleh dicapai dengan tangan.
Tambahnya, runtuhan tanah tersebut menutup sepenuhnya laluan air sungai di belakang kediamannya itu menyebabkan air naik.
BACA: 19 rumah teres dua tingkat terjejas tanah runtuh - Bomba
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, lokasi kejadian sudah ditutup dan keluarga yang terlibat diarahkan untuk berpindah.
Pegawai bomba memberi penerangan kepada penduduk yang terjejas.
"Bahagian Geologi dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah menasihatkan penduduk yang terlibat supaya berpindah.
"Penduduk bebas untuk berpindah kemana sahaja, bagaimanapun MPAJ juga telah menyediakan dua lokasi sementara untuk penduduk yang memerlukan," katanya ketika ditemui pada awal pagi Sabtu.
Terdahulu, 28 keluarga di Jalan Kemensah Heights dilaporkan terpaksa mengosongkan kediaman mereka susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku malam tadi.
Artikel asal di Sinar Harian
#tanah runtuh #Kemensah Heights #tanah tutup laluan sungai #penduduk diarah berpindah
;