Bunyi bising bongkar kegiatan melombong bitcoin di Puchong

Bernama
Jun 14, 2022 20:56 MYT
Polis merampas pelbagai peralatan antaranya 36 mesin melombong bitcoin, 18 unit pembekal kuasa serta sembilan kipas penghembus. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Tindakan orang awam melaporkan bunyi bising di sebuah rumah di Taman Putra Prima, Puchong dekat sini, semalam membawa kepada pembongkaran kegiatan melombong mata wang digital bitcoin di kediaman itu.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi hari ini berkata bertindak atas aduan tersebut, polis menyerbu rumah berkenaan pada 2.15 petang dan menemukan peralatan disyaki mesin bitcoin di bahagian ruang tamu dan bilik tidur.
Polis merampas pelbagai peralatan antaranya 36 mesin melombong bitcoin, 18 unit pembekal kuasa serta sembilan kipas penghembus.
Wan Kamarul Azran berkata pihak Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang turut serta dalam operasi itu mengesahkan berlakunya khianat dan kecurian pada meter TNB.
Susulan itu, pihaknya menahan seorang lelaki yang merupakan ejen rumah berkenaan dan akan mengambil keterangan pemilik rumah itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Identiti individu yang menjalankan operasi bitcoin di premis berkenaan masih tidak diketahui.
-- BERNAMA
#Bitcoin #Puchong #melombong bitcoin #polis
;