Bunuh saudara sendiri angkara syaki ibu terkena sihir
Ruzaini Zulkepli
Februari 20, 2018 23:34 MYT
Februari 20, 2018 23:34 MYT
Angkara mengesyaki ibunya terkena 'buatan orang' sehingga terlantar sakit, seorang lelaki tergamak menikam saudaranya sehingga mati sebelum menyerah diri di balai polis.
Dalam kejadian di Kampung Sembulan Lama, di sini, jam 6.20 petang tadi, suspek dikatakan menikam mangsa menggunakan senjata tajam.
Mangsa, Abdul Razi Bahadum, 56 tahun, ditemui mati dengan kesan beberapa tikaman di badannya.
Selepas menikam mangsa, suspek yang berusia 30 tahun, kemudiannya berjalan kaki dari lokasi insiden ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk menyerahkan diri bersama senjata yang digunakan dalam kejadian berkenaan.
"Suspek difahamkan berang apabila mengesyaki ada individu menyebabkan ibunya sakit terlantar di rumah yang dipercayai akibat terkena sihir.
"Susulan itu, suspek bertindak menunggu di luar rumah sambil menggengam pisau dan secara kebetulan muncul mangsa lalu tidak lama kemudian, suspek yang juga warga tempatan itu bergegas menikam mangsa di antara bahagian dagu atau lehernya sehingga menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.
"Suspek kemudiannya bertindak menyerahkan diri dengan berjalan kaki ke IPD Kota Kinabalu sebelum ditahan," katanya, ketika dihubungi, sebentar tadi.
Siasatan awal turut mendapati suspek mempunyai kesalahan lampau membabitkan narkotik.
Polis akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian tersebut dalam masa terdekat.