Bunuh rakan satu sel, banduan dihadapkan ke mahkamah
Shuhada Abdul Kadir
Mac 29, 2023 12:45 MYT
Mac 29, 2023 12:45 MYT
AYER KEROH: Seorang banduan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian rakan yang berkongsi sel dengannya di Kompleks Penjara Sungai Udang, bulan lalu.
Mohd Fahrur Radzi Chahat, 34, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin, dan tiada pengakuan direkodkan daripadanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki warga Indonesia, Paidi Binat Moksukar, 47.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2.15 petang di bilik nombor 48, Tingkat 1, Zon A, Blok Cekal, di kompleks penjara berkenaan di Melaka Tengah pada 17 Februari lalu.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha, manakala tertuduh tidak diwakil peguam.
Majistret kemudian menetapkan 29 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Media pada 24 Februari lalu melaporkan, selepas tujuh hari bertarung nyawa, seorang banduan maut dipercayai akibat dipukul oleh rakan sepenjara dalam kejadian di Penjara Sungai Udang.
Tertuduh dipercayai bertindak memukul mangsa selepas mendakwa kononnya mangsa mencuri makanan yang dibekalkan oleh pihak penjara untuknya.