Bunuh rakan, bekas pelajar Tingkatan Enam dihukum penjara 30 tahun

Nur Fazlizai Ali
Mac 5, 2024 18:45 MYT
Siti Nur Athirah sebelum ini didakwa telah menyebabkan kematian Siti Nur Surya Ismail, 19. - Foto Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pelajar Tingkatan Enam dijatuhi hukuman 30 tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Selasa selepas mengaku bersalah membunuh seorang rakannya.
Pengakuan itu dibuat Siti Nur Athirah Azmi, 23, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Siti Nur Surya Ismail, 19.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kampung Lubuk Batu, Telemong, Hulu Terengganu pada 1 November 2020 antara jam 8.30 sehingga 9.30 pagi.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Tertuduh diberikan hukuman pemenjaraan berdasarkan kepada pindaan terkini mengikut Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh bermula daripada tarikh ditangkap iaitu pada 2 November 2020.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam, Azura Ghazali.
Sebelum ini dilaporkan seorang remaja perempuan ditemui mati dipercayai dibunuh dengan beberapa kesan tikaman di beberapa bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri.
Dalam kejadian itu, mangsa ditemui tertiarap di ruang tamu rumah oleh adiknya yang baru pulang dari sekolah.
#pelajat Tingkatan 6 #bunuh pelajar #Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu #Siti Nur Athirah Azmi
;