Bunuh: Polis kesan individu sebar gambar

Sinar Harian
November 26, 2021 21:49 MYT
Sekeping gambar yang tular di media sosial sebelum ini didapati berunsurkan fitnah kononnya pihak polis tidak membantu meleraikan pergaduhan tersebut. - Gambar/ Media sosial
IPOH: Polis sedang menyiasat dan mengesan individu yang didapati merakam dan menyebar gambar berkaitan kejadian bunuh di Flat Jalan Ashby di sini pada Khamis.
Sekeping gambar yang tular di media sosial sebelum ini didapati berunsurkan fitnah kononnya pihak polis tidak membantu meleraikan pergaduhan tersebut.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, tindakan pemilik akaun laman sosial yang memberi kenyataan berunsurkan negatif tanpa mengetahui fakta sebenar adalah tidak bertanggungjawab dan dikesali.
"Bertindak atas maklumat orang awam, pihak polis telah bergegas ke tempat kejadian dan berjaya meleraikan pergaduhan tersebut.
"Tangkapan terhadap tiga suspek terus dilakukan di tempat kejadian dan kesemua suspek telah dibawa ke Balai Polis Sungai Senam.
"Bagaimanapun, gambar yang ditularkan tersebut memperlihatkan seolah-olah pihak polis tidak meleraikan pergaduhan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Menurutnya, satu laporan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Yahaya menegaskan bahawa pihaknya menjalankan tugas dengan adil dan profesional terutama dalam mengendalikan situasi yang melibatkan keselamatan nyawa.
"Perbuatan menyebarkan kenyataan tidak benar dan tohmahan tidak berasas melalui kaedah tular hingga menyebabkan kegusaran dalam kalangan masyarakat dikhuatiri menjejaskan reputasi dan kredibiliti polis," katanya.
Tambahnya, orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Azlina Rais Ahmad di talian 013-6282176 untuk membantu siasatan.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian: Bunuh: Polis kesan individu sebar gambar
#kes bunuh #pembesar suara #Tular #sebar gambar
;