Bunuh pelajar: Keputusan 13 remaja bebas atau perlu bela diri 28 Februari
Bernama
Februari 3, 2025 22:56 MYT
Februari 3, 2025 22:56 MYT
TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh keputusan sama ada 13 pelajar kolej vokasional perlu membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Kolej Vokasional Lahad Datu, Mac tahun lepas.
Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Duncan Sikodol selepas prosiding semakan status hujahan semua pihak diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom hari ini.
Perbicaraan kes itu berlangsung selama 12 hari bermula 19 November lepas dengan 25 saksi dipanggil untuk memberi keterangan.
Sekiranya hakim bicara mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap remaja berusia 16 hingga 19 tahun itu, mereka akan dipanggil untuk membela diri dan jika mahkamah memutuskan sebaliknya, kesemua tertuduh akan dibebaskan.
Pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif serta dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
Prosiding turut dihadiri oleh peguam tertuduh, iaitu Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye, yang mewakili lapan daripada 13 tertuduh.
Lima lagi tertuduh diwakili oleh peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P. Kang serta Kusni Ambotuwo.
Kesemua remaja berkenaan dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu, antara kira-kira pukul 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta tidak lebih daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA