Bunuh OKU: Terdapat banyak kesan kecederaan baharu, lama

Bernama
Januari 23, 2024 17:02 MYT
Anbalagan berkata terdapat banyak komplikasi pada kecederaan mangsa berusia 20 tahun itu dan keputusan bedah siasat masih menunggu analisis makmal. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Laporan bedah siasat terhadap seorang wanita orang kurang upaya (OKU) intelektual yang dipercayai dibunuh, mendapati banyak kesan kecederaan baharu dan lama pada badan mangsa.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP A A Anbalagan berkata terdapat banyak komplikasi pada kecederaan mangsa berusia 20 tahun itu dan keputusan bedah siasat masih menunggu analisis makmal.
"Terdapat pelbagai kemungkinan punca kecederaan itu...mungkin kesan jatuh, mungkin dera dan ia masih dalam siasatan pihak polis," katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis sebelum ini menahan tujuh individu daripada satu keluarga bagi membantu siasatan kes bunuh wanita OKU di sebuah rumah di Jalan Serdang Raya 1, Seri Kembangan dekat sini, Ahad lepas.
Mangsa dipercayai telah memarahi serta mencubit dua ahli keluarga berkenaan iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.
Susulan itu, mangsa telah dipukul dengan kayu panjang dan diseterika secara berulang-ulang sehingga mengalami kecederaan pada tubuh badannya.
-- BERNAMA
#bunuh oku #kesan kecederaan #Polis Serdang #A A Anbalagan
;