Bunuh Nur Farah Kartini: Lans koperal dibawa ke mahkamah hari ini

Sinar Harian
Julai 25, 2024 23:45 MYT
Suspek lelaki yang ditahan reman sejak 14 hari lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
KUALA KUBU BHARU: Kisah tragis Nur Farah Kartini Abdullah yang dijumpai maut di kawasan ladang kelapa sawit memasuki lembaran baharu apabila suspek lelaki yang ditahan reman sejak 14 hari lalu, akhirnya didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas tuduhan membunuh wanita itu dua minggu lalu.
Tumpuan pastinya terarah pada susuk lelaki itu apabila sebahagian kecil maklumat mengenai suspek akan 'dilondehkan' dalam kertas pertuduhan kelak.
Pendedahan itu sedikit sebanyak akan memberi gambaran yang lebih jelas, selepas pelbagai versi timbul ketika perintah reman dibuat sebelum ini.
Sebelum ini, media melaporkan mayat, Nur Farah Kartini, 25, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Seri Keledang, Hulu Selangor pada 15 Julai lalu.
Berikutan itu, pada hari yang sama, suspek iaitu seorang anggota polis berpangkat lans koperal yang bertugas di Perak telah ditahan.
Dia yang berusia 26 tahun kemudian direman tujuh hari sebelum dilanjutkan sehingga 29 Julai ini untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sepanjang tempoh itu, beberapa barang kes yang dikaitkan dengan kes terbabit telah dijumpai di sekitar lokasi penemuan mayat mangsa termasuk di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak.
Antara barang ditemui adalah telefon, beg tangan, kunci kereta dan dompet berisi kad pengenalan mangsa.
Wanita itu yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa di Taman Universiti, Tanjung Malim. - Sinar Harian
#Nur Farah Kartini Abdullah #Mahkamah Majistret #suspek #reman