Bunuh: Lebih 100 individu beri penghormatan kepada pelajar warga Britain

Bernama
Ogos 8, 2014 08:07 MYT
Dua pelajar perubatan warga Britain, Aidan Brunger dan Neil Dalton, mati ditikam pada awal pagi Selasa - Gambar Fail
Upacara menyalakan lilin sebagai tanda penghormatan kepada dua pelajar perubatan warga Britain, Aidan Brunger dan Neil Dalton, yang mati ditikam pada awal pagi Selasa diadakan di tempat kejadian di Jalan Padungan di sini pada Khamis.
Lebih 100 individu termasuk rakan-rakan mangsa menghadiri upacara itu.
Menteri Pembangunan Sosial Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom tiba pada 7.30 malam untuk menyalakan lilin dan meletakkan kalungan bunga sebagai tanda penghormatan kepada kedua-dua mangsa.
Mangsa, berumur 22 dan 23 tahun, dijumpai terbaring di atas jalan raya dengan jarak kira-kira 20 meter antara satu sama lain di Jalan Abell, Padungan di sini pada 4 pagi, Selasa.
Kedua-dua pelajar perubatan itu menjalani latihan amali di sebuah hospital di sini untuk tempoh tiga bulan.
Mereka tiba di sini pada Jun dan kedua-dua mereka sepatutnya menamatkan latihan amali hari ini.
Masyarakat tempatan di sini mengutuk pembunuhan itu dan meminta polis segera menyiasat kes berkenaan dan mendakwa mereka yang terlibat.
#Aidan Brunger #Britain #bunuh #Neil Dalton
;