Bunuh kucing dengan kejam di kedai dobi, pemandu teksi dipenjara dua tahun
Bernama
Januari 17, 2019 21:01 MYT
Januari 17, 2019 21:01 MYT
Seorang lelaki yang videonya tular berhubung tindakan kejam bersama rakannya membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan memasukkan haiwan itu ke dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri, dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini.
Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas pemandu teksi A. Mohanraj, 42, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah, pada sebutan kes hari ini.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 14 Sept 2018.
Lelaki itu didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas dengan kejamnya menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di premis dobi di Taman Gombak Ria, Batu Caves di sini antara 12.54 tengah malam dan 1 pagi, pada 11 Sept tahun lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Sebelum ini rakan Mohanraj, S.Satthiya, 27, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan sama manakala seorang lagi pekerja kontrak K. Ganesh, 42, masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor Roslan Mohd Isa memohon hukuman berat dengan alasan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah zalim.
“Kes ini melibatkan kepentingan awam kerana menyaksikan tingkah laku menganiayai dan menzalimi haiwan yang tidak mampu melawan adalah satu sikap yang tidak boleh diterima masyarakat.
“Sebagai seorang manusia yang berakal tertuduh sepatutnya melindungi haiwan kerana haiwan tersebut (kucing) bukan haiwan berdosa atau berbahaya,” katanya.
Mohanraj yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama serta perlu menanggung keluarga.
“Saya berasa kesal dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini lagi.
“Semasa saya berada dalam tahanan saya sering diejek dan dihina oleh banduan lain atas kesalahan saya ini,” katanya.
Mengikut fakta kes, pada 11 Sept tahun lepas pengurus dobi tersebut telah menerima panggilan daripada seorang pelanggan wanita yang memberitahu bahawa terdapat bangkai seekor kucing yang berada di dalam mesin pengering baju kedai dobi layan diri tersebut.
Pengurus dobi kemudian mengarahkan pekerja kedai membuat pemeriksaan di dalam mesin pengering itu dan mendapati seekor bangkai kucing berada di dalam mesin itu.
Hasil pemeriksaan rakaman litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat dua lelaki dan seorang daripada lelaki tersebut telah mengambil seekor kucing yang berada di bawah meja lipat baju di kedai dobi tersebut dan mencampakkan kucing itu ke dalam sebuah mesin pengering baju.
Kedua-dua tertuduh kemudian memasukan token dan menekan butang mula sebelum beredar meninggalkan kedai dobi berkenaan.
Pengadu terpaksa menutup sementara kedainya akibat gangguan bau bangkai yang sangat teruk.
Berikutan itu, pengadu membuat laporan polis dan tangkapan dibuat pada 14 Sept tahun lepas.
Pegawai penyiasat telah mengambil sampel bulu dan darah yang berada di dalam mesin pengering baju itu untuk pemeriksaan DNA.
Laporan analisis DNA mengesahkan bahawa DNA yang dijumpai di dalam mesin pengering baju itu berpadanan dengan DNA seekor kucing jenis domestik.
Sebelum ini, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan kejam tiga individu yang membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan cara memasukkannya ke dalam mesin pengering berkenaan.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan tersebut kemudian tersebar di media sosial dan menerima kecaman masyarakat sebelum Persatuan Haiwan Malaysia bertindak membuat laporan polis dan kedua-dua individu itu kemudiannya ditahan polis.
Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie.
Turut hadir mengikuti prosiding hari ini adalah Pengarah Penguatkuasa JPV Malaysia Zaharinan Abd Aziz.
-- BERNAMA
#A Mohanraj
#bunuh kedai dobi
#bunuh kucing
#CCTV
#Kuala Lumpur
#Mahkamah Sesyen
#Malaysia
#rakyat Malaysia