Bunuh jiran, nasib lelaki diketahui 30 Mac

Abd Razak Mohd Ali
Februari 15, 2023 12:45 MYT
Mengikut pertuduhan, Mohamad Shaharudin Zakaria didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Zaharah Khalid di sebuah rumah di Kampung Pasir Panjang Laut, Seri Manjung, Manjung sekitar pukul 8 malam pada 3 Mei 2020. - Gambar Astro AWANI
IPOH: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 30 Mac hadapan sebagai tarikh keputusan kes seorang lelaki warga emas yang didakwa membunuh jirannya berusia 77 tahun, tiga tahun lalu.
Tarikh tersebut ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed pada prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Shaharudin Zakaria, 68, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Zaharah Khalid, 77, di sebuah rumah di Kampung Pasir Panjang Laut, Seri Manjung, Manjung sekitar pukul 8 malam pada 3 Mei 2020.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi manakala tertuduh diwakili peguam M. Saravanan.
Mohamad Shaharudin pertama kali dituduh di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada 12 Mei 2020.
Pada 4 Mei 2020, media melaporkan seorang lelaki memukul dan memijak wanita yang juga warga emas hingga maut sebelum membuang mayatnya dalam parit dalam kejadian di Kampung Pasir Panjang, Sitiawan, sehari sebelum itu.
Mayat wanita berusia 76 tahun itu ditemui anggota polis dalam keadaan separuh tenggelam pada 2 pagi.
Sebelum itu, polis menerima laporan kehilangan mangsa yang tidak pulang ke rumah selepas keluar berseorangan dengan motosikalnya.
#bunuh jiran #warga emas #memijak wanita #buang dalam parit
;