Bunuh imam Palestin: KPN nafi polis lambat bertindak
Astro Awani
April 22, 2018 20:31 MYT
April 22, 2018 20:31 MYT
Pihak polis menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya lewat bertindak dalam kejadian pembunuhan seorang pensyarah dan imam warga Palestin di Setapak, semalam.
Video yang tular di media sosial sejak pagi tadi itu memaparkan seorang lelaki Arab, dirakam sedang menceritakan sesuatu di lokasi kejadian dengan terjemahan Bahasa Melayu yang salah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya telah menemubual individu yang membuat terjemahan dalam video berkenaan, yang dikenali sebagai Muhammad Najmi Rohaizad Mohd Nazri, dan dia mengakui tersilap dalam terjemahannya.
Terjemahan video berkenaan menunjukkan seolah-olah pihak polis mengambil masa yang lama untuk tiba di tempat kejadian dan mangsa, Dr Fadi Mohammed Al Batsh, mungkin dapat diselamatkan jika bantuan tiba lebih awal.
BACA: Siapa Dr Fadi AlBatsh?
Selain itu juga, lelaki Arab yang dirakam itu dilaporkan adalah saksi yang berada bersama mangsa semasa kejadian berlaku, sedangkan hasil temubual ke atas semua saksi yang ada mendapati tiada seorang pun warga asing yang berada bersama mangsa semasa insiden tembakan berkenaan.
"Bertindak atas maklumat yang kita dapat, sebuah kereta peronda polis telah diarahkan oleh Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur untuk ke tempat kejadian pada jam 6.41 pagi (Sabtu) dan kereta peronda telah tiba di lokasi pada jam 6.49 pagi.
“Jadi dakwaan pihak tertentu bahawa kita lambat sampai, kononnya lebih daripada 30 minit, adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.
"Video yang tular adalah satu fitnah semata-mata," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen KL pada petang Ahad.
Mohamad Fuzi berkata lelaki Arab terbabit sebenarnya memberitahu dia menghubungi pihak polis sebanyak tiga hingga empat kali bagi tujuan melaporkan kejadian, dan bukannya sehingga 43 kali seperti yang disiarkan dalam video berkenaan.
Berdasarkan rekod, pihak polis menerusi MERS 999 menerima panggilan mengenai kejadian tembakan itu pada jam 6.41 pagi sebelum sebuah kereta peronda polis diarah ke lokasi pada jam 6.44 pagi dan tiba lima minit kemudian.
Sehubungan itu, pihak polis turut meminta lelaki Arab yang membuat dakwaan dalam video itu juga diminta tampil bagi membantu siasatan.
#Dr Fadi Al Batsh
#fuzi harun
#Hamas
#Imam Palestin
#Israel
#Ketua Polis Negara
#lelaki arab
#Mossad
#Palestin
#Setapak
#tembak mati