Bunuh ibu: Mahkamah Tinggi tolak permohonan penilaian psikiatri kali kedua
Bernama
September 25, 2024 18:20 MYT
September 25, 2024 18:20 MYT
KLANG: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan seorang lelaki yang dituduh membunuh ibu kandungnya di Pasir Penambang, Kuala Selangor dua tahun lepas untuk melakukan penilaian psikiatri kali kedua.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi menolak permohonan Mohamed Azam Abdul Rasib untuk penilaian psikiatri kali kedua dalam kes pembunuhan ibunya.
- Hakim Norliza Othman menolak permohonan kerana tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada Oktober dan November.
- Mohamed Azam didakwa membunuh ibunya, Hamidah Ismail, di Pasir Penambang, Kuala Selangor pada Januari 2022 dan menghadapi hukuman mati jika sabit kesalahan.
Hakim Norliza Othman membuat keputusan itu selepas Mohamed Azam Abdul Rasib membuat permohonan itu pada prosiding kes itu hari ini.
Peguam Ahmad Ishrakh Saad yang mewakili Mohamed Azam berkata permohonan tersebut dibuat menerusi surat difailkan kepada mahkamah pada 23 Sept, antara lain kerana pemohon tidak berpuas hati dengan hasil dapatan laporan psikiatri dan laporan perubatan forensik psikiatri.
"Saya faham permohonan ini dilakukan agak lewat, ini kerana pihak kami sukar mendapat arahan yang jelas dan rasional daripada anak guam, serta memerlukan masa untuk mengesahkan beliau membuat permohonan.
"Ini permintaan dari pemohon jadi saya serahkan kepada mahkamah," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Aqilah Ahmad Fuad mencadangkan kes diteruskan seperti yang ditetapkan sebelum ini, atas dasar kekangan masa dan tarikh.
Norliza kemudiannya memutuskan untuk menolak permohonan itu atas dasar tarikh perbicaraan telah pun ditetapkan pada Oktober dan November ini, sekali gus mencadangkan peguam pemohon untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit ketika prosiding itu berlangsung nanti.
"Tidak sepatutnya ada dua laporan yang berlainan, apa yang anda (peguam) boleh buat ialah sepina doktor itu atau letak notis untuk memanggil doktor itu ke sini dan anda boleh soal balas dia.
"Kalau tidak diteruskan kes ini akan dibawa kepada tahun 2028, saya tidak membenarkan pemerhatian kali kedua, kes akan berjalan seperti yang ditetapkan," katanya.
Tarikh perbicaraan bagi kes berkenaan ditetapkan pada 28 hingga 30 Okt serta 4 dan 8 Nov.
Pada 24 Jan 2022, Mohamed Azam, 31, didakwa membunuh ibunya Hamidah Ismail, 56, di sebuah rumah di Pasir Penambang, Kuala Selangor antara 8.10 pagi dan 6.08 petang 15 Jan 2022 .
Lelaki itu didakwa bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA