Bunuh gajah: RM120,000 ganjaran untuk saksi, pemberi maklumat

Bernama
Ogos 29, 2018 07:00 MYT
Bangkai gajah betina yang ditemui mereput di kawasan pembalakan berhampiran Tongod, Beluran, Sabtu lalu.
Jabatan Hidupan Liar Sabah sukar menangkap pihak atau individu yang terlibat membunuh gajah disebabkan tiada saksi berani tampil meskipun ditawarkan ganjaran RM120,000.
Pengarahnya, Augustine Tuuga, berkata ganjaran yang ditawarkan itu adalah bagi maklumat yang boleh dijadikan bukti langsung yang boleh diterima di mahkamah.
Katanya, pihaknya sememang ingin mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat membunuh gajah di negeri ini.
Maklumat daripada saksi amat diperlukan untuk menangkap pihak yang terlibat membunuh gajah termasuk pemburu dan mereka yang memasang perangkap, katanya dalam kenyataan bagi mengulas insiden pembunuhan gajah di kawasan hutan dan ladang kelapa sawit di negeri ini.
Terbaru, seekor gajah betina berusia antara 12 hingga 15 tahun ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala di kawasan Ladang Kelapa Sawit Bintang Emas di Tongod pada Sabtu lepas.
BACA: Lagi gajah pygmy Borneo ditemui mati ditembak
Ia merupakan gajah ke-25 ekor yang ditemui mati di kawasan hutan dan ladang kelapa sawit di negeri ini sejak awal tahun ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Hidupan Liar Sabah Siti Nur'Ain Ampuan Acheh dalam kenyataan malam ini berkata jabatan itu menerima laporan mengenai penemuan gajah itu daripada Pegawai Perhutanan Daerah Tongod. -- Bernama
#bunuh gajah #gajah mati #gajah pygmy #gajah sabah #tembak gajah
;