Bunuh dua rakan sekerja kerana sering dibuli

Afiezul Samit
Ogos 17, 2021 10:02 MYT
Insiden berdarah berlaku di bahagian dek pemandu kapal di mana suspek berusia 47 itu bertindak menyerang tiga pekerja lain menggunakan sebilah parang ketika mereka sedang tidur. - Astro AWANI
KUCHING: Gara-gara tidak puas hati sering dibuli, seorang warga Indonesia nekad menetak dua rakan sekerjanya sehingga mati manakala seorang lagi cedera parah.
Kejadian dipercayai berlaku awal pagi Isnin di sebuah kapal ikan di Taman Perindustrian Ringan Muara Tabuan di sini.
Insiden berdarah berlaku di bahagian dek pemandu kapal di mana suspek berusia 47 itu bertindak menyerang tiga pekerja lain menggunakan sebilah parang ketika mereka sedang tidur.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Macha Ata berkata susulan itu, dua mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah.
“Mangsa yang terbunuh melibatkan dua lelaki tempatan manakala seorang lagi cedera dengan kesan tetakan objek tajam.
“Dia telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut, setakat ini keadaanya stabil,” katanya.
Menurut Mancha, suspek kemudian menyerah diri di Balai Polis Bintawa sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.
Difahamkan suspek telah bekerja di atas kapal tersebut sejak enam bulan lalu.
Mayat kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 20-an itu telah dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak untuk proses saringan COVID-19 dan bedah siasat.
Bagaimanapun kata Mancha punca sebenar dan motif kejadian masih dalam siasatan pihaknya.
Suspek dari Pontianak, Indonesia itu direman sehingga 23 Ogos ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Selain suspek turut disiasat mengikut Seksyen 307 kanun sama atas cubaan membunuh.
#bunuh #rakan #kerja #kapal ikan #maut #cedera #Macha Ata
;