Bunuh dua lelaki Indonesia: Warga Filipina dihukum penjara 80 tahun, 24 sebatan
Bernama
Februari 26, 2024 20:30 MYT
Februari 26, 2024 20:30 MYT
TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara 80 tahun dan 24 sebatan ke atas seorang penganggur lelaki warga Filipina kerana membunuh dua lelaki Indonesia di Semporna, dua tahun lepas.
Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas Nurhan Khalid, 31, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dihadapinya.
Mahkamah menjatuhi hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan namun Nurhan diperintah menjalani hukuman penjara secara serentak dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 26 Jun 2022.
Ini bermakna Nurhan hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 40 tahun.
Dia didakwa membunuh Hipang Iba Bernadus dan Tomas Yohanes di sebuah gereja di Ladang Pinang, Semporna antara 4 petang hingga 5 petang 26 Jun 2022 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, atau jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan minimum 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain manakala Nurhan diwakili peguam Jhassary P Kang dan Jhesseny P Kang.
Di mahkamah sama, Duncan turut menjatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan ke atas seorang lelaki warga Filipina yang mengaku mengedar dadah jenis syabu di Lahad Datu pada tahun lepas.
Isnawi Sarawi, 45, didakwa mengedar 199.71 gram syabu di kawasan tepi Jalan Kampung Panji, Jalan Pantai, Lahad Datu pada 3.30 petang 1 Feb 2023 mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, Isnawi berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika dia tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.
Mahkamah memerintahkan Isnawi menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 1 Feb 2023.
Pendakwaan dikendalikan oleh Hurman manakala Isnawi diwakili peguam Vivian Thien.
-- BERNAMA