Bunuh dua beranak: Mangsa maut akibat tikaman di dada, perut - Polis

Dewi Nur Harasha Alias
November 9, 2024 12:10 MYT
Hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam mendapati terdapat kecederaan akibat tikaman dengan benda tajam pada mangsa. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Polis mengesahkan kematian dua beranak Siti Zulaila Zulkifli, 30,dan bapanya Zulkifli Ibrahim, 62, dalam kejadian di pangsapuri Bandar Baru, Ayer Itam berpunca akibat luka tikaman pada dada dan perut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam mendapati terdapat kecederaan akibat tikaman dengan benda tajam pada mangsa.
"Bedah siasat mendapati punca kematian mangsa wanita adalah disebabkan luka tikaman pada dada dan perut manakala bapanya mengalami luka akibat ditikam pada dada.
"Proses bedah siasat selesai kira-kira jam 6 petang semalam dan jenazah kedua-dua beranak dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan malam tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Lelaki tikam dua beranak hingga maut direman tujuh hari
BACA: “Arwah, isteri saya yang sah” - Suami mangsa tikam
Dalam pada itu, katanya lagi, polis memberi jaminan bahawa siasatan berhubung kes berkenaan akan dijalankan secara telus dan adil.
"Keadaan suspek stabil dan kita percaya siasatan tidak mengambil masa yang lama," katanya.
Difahamkan terdapat enam kesan tikaman pada tubuh mangsa termasuk terkena pada bahagian jantung yang menjadi punca kematian mangsa.
Dalam kejadian tengahari Khamis, Siti Zulaila dan bapanya Zulkifli maut ditikam dengan pisau oleh seorang lelaki dipangsapuri berkenaan.
Difahamkan, mangsa baru pulang dari tempat kerja ditikam suspek yang kemudian turut menikam bapa mangsa yang cuba meleraikan pertengkaran antara mereka.
Suspek kemudian bertindak mengelar dan menikam dirinya beberapa kali sebelum dia dikejarkan ke HPP untuk rawatan lanjut.
Suspek direman selama tujuh hari hingga 14 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jenazah dua beranak itu selamat dikebumilan bersama dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kariah Tanjong Tokong selepas solat Isyak kira- kira jam 10 malam Jumaat.
#kes bunuh #kes tikam dua beranak #punca kematian #motif kejadian
;